| 5 comments ]


“Saya percaya selepas mendengar pembentangan sahabat saya semalam, semua adik-adik di sini sudah dapat rasakan semangat untuk dakwah betul?”

Soalan saya disambut dengan anggukkan dan senyuman.

Saya meneruskan, “Memandangkan semua disini insyaAllah akan menyambung peringkat ijazah, menempuhi alam kampus yang lebih mencabar. Ditambah dengan semangat baru untuk terlibat dalam usaha dakwah. Pasti suatu hari akan berdepan dengan sebuah persoalan. Antara aktiviti dakwah dan akademik, mana lebih utama?”

Kesemua peserta kelihatan tekun berfikir. Saya menyambung, “Seperti yang saya katakan sebentar tadi, mudah untuk memilih diantara baik dan buruk. Yang sering membawa kepada dilema adalah memilih antara yang baik dan terbaik.”

Seringkali saya mendegar kekeliruan antara keutamaan gerak kerja dakwah dan akademik akan membawa kepada dua akibat. Terlalu asyik membantu aktiviti dakwah hingga terabai pelajaran. Atau memilih untuk tidak mahu terlibat langsung atas alasan demi pelajaran.

Saya tidak punya sebarang formula ringkas yang terjamin mujarab untuk menyelesaikan dilema tersebut. Jadi saya cuba kongsikan pengalaman saya berdepan dengannya. Ujian berat yang banyak membentuk diri saya hari ini.

BERSEMANGAT TETAPI NAIF

Empat tahun lalu, saya diberikan amanah untuk mengepalai sebuah biro di dalam Institusi Usrah. Saya yang baru sahaja tersedar akan makna hidup dan tanggung jawab seorang Muslim, menerima amanah tersebut dengan penuh semangat. Semangat membara tanpa kebijaksanaan, hanya membawa saya kepada suatu ujian yang tidak pernah saya duga.

Saya meletakkan dakwah di tempat penting dalam hidup. Maka berpeluang berkhidmat di dalam organisasi bermatlamatkan dakwah mengasyikkan saya. Hampir kebanyakkan masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan aktiviti dibawah jagaan biro.

Pada waktu yang sama, saya merupakan pelajar pengkhususan Filem dan Animasi. Pengkhususan yang terkenal dengan kesukarannya. Lebih lagi apabila hampir setiap minggu kami perlu menyiapkan tugas tertentu untuk sesi Crit.

Seorang teman dalam pengkhususan yang sama pernah mengatakan, “Kalau dah masuk FA (Film and Animation), tak payah la nak pegang jawatan dalam persatuan.”

Satu trimester berlalu dan tiba waktunya untuk menyemak keputusan trimester lalu. Akibat hasil kerja yang tidak memuaskan setiap kali sesi Crit, saya gagal subjek teras. Keputusan itu memberikan tamparan hebat kepada saya. Walaubagaimana pun, itu adalah sunnatullah atau hukum yang telah Tuhan tetapkan. Tanpa usaha dan fokus yang sepatutnya mustahil akan membuahkan hasil yang baik.

Kegagalan subjek tersebut membuatkan saya terpaksa menanti setahun lagi untuk mengambilnya semula. Tanpa lulus subjek tersebut, saya tidak boleh melangkah masuk tahun kedua. Disebabkan apa yang terjadi saya bercadang meletakkan jawatan. Serta ‘menangguhkan’ aktiviti-aktiviti melibatkan dakwah dan kembali fokus kepada pelajaran.

Tetapi sahabat-sahabat rapat menasihatkan saya agar tidak meletakkan jawatan. Dorongan dan nasihat yang diberikan membuatkan saya menilai kembali keputusan yang ingin saya ambil.

Akhirnya saya memilih untuk tidak mengubah keutamaan dakwah dengan meletakkanya di bawah. Tetapi saya mengubah cara pandang saya terhadap keutamaan-keutamaan saya sebagai pelajar ketika itu.

Stephen Covey pernah menyebut, “The way we see the problem is the problem.”

KEPELBAGAIAN PERANAN

Seorang lelaki berkerja di pejabat. Tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon daripada anaknya yang berada di sekolah. Anaknya mengadu sakit dan tidak sedap badan. Tetapi si ayah membalas,

“Ayah tidak dapat membantu. Ayah sedang berkerja ni. Di waktu ini ayah adalah seorang pekerja syarikat. Tunggu selepas pukul 6 barulah ayah boleh memainkan peranan sebagai ayah.”

Cerita tersebut menggeletek hati peserta. Saya mengajak peserta berfikir. Bukankah pelajar yang memilih untuk memainkan satu peranan sahaja, samada pelajar atau aktivis dakwah, mirip seperti lelaki tadi?

Adalah satu kesilapan untuk melihat peranan-peranan penting dalam kehidupan dengan cara dikotomistik. Iaitu berfikir dengan cara "either...or". Samada menjadi ayah atau pekerja. Samada menjadi aktivis dakwah atau pelajar.

Teladan agung kita Rasulullah SAW merupakan seorang Rasul. Yang mana dakwah merupakan tanggung jawabnya paling besar. Pada masa yang sama beliau juga seorang suami kepada bukan sahaja isteri tetapi isteri-isteri. Seorang ayah, seorang guru, seorang pemimpin masyarakat dan seorang pemimpin angkatan perang apabila diperlukan.

Beliau tidak memilih salah satu peranan, sebaliknya memainkan semua peranan dengan baik. Kerana peranan-peranan tersebut tidak harus dilihat berkonflik antara satu dengan yang lain. Sebaliknya saling berkaitan.

Sekiranya kita sedar peranan-peranan penting seorang Muslim. Maka peranan-peranan seperti seorang aktivis dakwah, pelajar, anak, sahabat, peniaga bukanlah peranan yang saling berkonflik. Semua peranan tersebut merupakan penting dan perlu diutamakan. Yang kadangkala saling bertembung bukanlah kepentingan antara semua peranan itu, tetapi hal-hal terperinci yang mendesak dalam melaksanakan peranan tersebut.

FOKUS DAN ATUR

Oleh itu, setiap perkara penting yang membentuk peranan dalam hidup seharusnya menjadi fokus. Tanpa memerlukan kita meletakkan perkara-perkara tersebut dalam sebuah hierarki keutamaan. Perkara-perkara yang menjadi fokus tersebut akan membentuk kualiti diri dan daya kepimpinan kita. Yang perlu diuruskan keutamaannya mengikut kemampuan kita adalah hal-hal mendesak yang datang dan pergi.

Seorang aktivis dakwah dan pada waktu yang sama pelajar tidak perlu merungkai peranan yang mana lebih utama. Kerana kedua-duanya utama dan penting. Yang perlu diaturkan dengan cermat adalah hal-hal seperti tugasan akademik, kerja-kerja dakwah, aktiviti-aktiviti dan lain-lain.

Semoga fokus kita jelas dan pengurusan kita cermat. Tuhan lebih mengetahui.


alFaisal

Batu Caves

24 Januari 2009

11.30 pm

http://demipena.com



Baca selebihnya...
| 0 comments ]


“Mengapa sudah lama tidak mengemaskini blog?”

“Tidak mahu memberi pandangan mengenai isu-isu terkini di blog ke?”

Banyak soalan menerjah bertanyakan mengapa momentum blog ini kelihatan semakin menurun. Bagi yang sering berkunjung sudah pasti akan perasan perubahan ini. Malah isteri saya sendiri bertanya mengapa saya semakin jarang menulis.

Semenjak mula berjinak-jinak menulis sekitar lima tahun lalu. Keghairahan menulis saya berterusan meningkat. Dengan bertambahnya perkara yang dipelajari, pengetahuan yang diperolehi, menulis adalah cara saya meluah dan berkongsi pandangan. Menulis membantu saya menstrukturkan apa yang telah difahami. Saban tahun momentumnya semakin meningkat sehinggalah pertengahan tahun lepas.

Kadangkala saya tersenyum. Terkenang bagaimana saya pernah bersunguh menggalakkan insan-insan yang rapat dengan saya untuk menulis. Apabila ada yang mengadu kehabisan idea, saya akan berkongsi pengalaman bagaimana saya mengekstrak pengajaran daripada kehidupan lalu dijadikan tulisan. Melucukan apabila terdapat insan-insan tersebut kini lebih giat menulis berbanding diri saya.

KRISIS

Saya pasti terdapat beberapa punca yang mendorong kepada keadaan tersebut. Bagi saya antara punca utamanya adalah renjatan pemikiran yang saya lalui. Saya mula merenung kembali setiap idea dan pemahaman saya. Sejauh mana apa yang saya fahami sebagai kebenaran sebelum ini adalah benar.

Saya gagal merumuskan sebarang idea yang ingin dikongsi. Setiap pemahaman lama mula saya ragui. Lubang-lubang kelemahan semakin jelas kelihatan apabila saya amati. Soalan membawa kepada soalan. Akhirnya tidak ada yang mampu saya coretkan atau selesaikan.

Walaubagaimana pun saya melihat krisis yang saya lalui membawa seribu satu kebaikan buat diri.

Kadangkala kita menyekat diri daripada menilai kembali apa yang kita percayai dan yakini. Sekali kita merasakan apa yang kita dapat itu yang benar, maka kita tidak mahu lagi melihat apakah ada kebarangkalian lain. Kita tidak lagi mencuba menilai kembali pemahaman-pemahaman, idea-idea, pendirian-pendirian yang diperolehi sebelum ini.

Bukankah kesilapan lama yang kita tinggalkan dahulu itu juga pernah kita anggap kebenaran?

Sekalipun perjalanan untuk sebuah pencarian sudah bermula, tidak sepatutnya saya menjadikannya sesuatu yang membimbangkan saya untuk menulis. Sepatutnya perjalanan pencarian ini saya catatkan jika tidak bagi manfaat orang lain, sekurang-kurangnya untuk manfaat diri sendiri.

Saya berdoa untuk terus diberikan kekuatan menulis kembali. Doakan saya.


alFaisal

Batu Caves

18 Januari 2009

1.30 pm

http://demipena.com


Baca selebihnya...
| 6 comments ]


Tidak banyak yang saya borong ketika di jualan gudang buku Big Bad Wolf. Pertama, mungkin kerana tidak banyak buku yang menarik perhatian saya. Kelihatan seperti banyak buku menarik sudah habis diborong. Kedua, saya sudah mempunyai sebuah senarai untuk buku-buku yang saya hajatkan. Maka perbelanjaan saya perlu diutamakan untuk buku-buku di dalam senarai.

Tujuan asal ke sana hanya untuk menjenguk-jenguk buku berkaitan kehamilan. Bertujuan melengkapkan pengetahuan saya dan isteri dalam menghadapi kehamilan isteri yang pertama kali. Selepas puas membelek akhirnya kami membeli Christine Hill's Pregnancy Guide.

Di dalam kereta, melihat isteri saya yang sedang khusyuk membaca buku Pregnancy Guide. Sengaja saya melontarkan soalan buat perbincangan.

“Kenapa sayang membaca?”

Saya tahu isteri saya bukanlah seorang yang mempunyai kegilaan tinggi terhadap buku.

Isteri saya menjawab,“Sebab saya nak tahu sesuatu.”

Saya tersenyum dan menambah soalan, “Jadi sayang membaca kerana memerlukan pengetahuan betul?”

Isteri saya menjawab ringkas, “Ya”

Saya menyambung pertanyaan, “Dan sayang memerlukan pengetahuan kerana sayang tahu, yang sayang tidak tahu kan? Dan buku dapat memberikan apa yang sayang perlukan.”

Sekali lagi dengan wajah tertanya-tanya apakah helah soalan saya, isteri saya menjawab, “A’ah.”

Saya pun membuat kesimpulan, “Jadi maknanya, jika nak kempen membaca berjaya, masyarakat bukan sahaja perlu diberitahu membaca jambatan ilmu. Tapi juga diberitahu bahawa banyak yang mereka tak tahu. Individu hanya akan semakin galak membaca apabila dia menyedari dirinya dungu, banyak tak tahu. Jadi kempen yang mungkin bagus adalah kempen menjelaskan betapa dungunya kita!”

Kami tertawa. Kesimpulan saya itu boleh dikatakan dalam bahasa remaja hari ini sebagai ‘sengal’. Ramai sahaja manusia yang tahu banyak yang tidak diketahuinya dan pengetahuan itu diperlukan. Namun kemalasan untuk membaca masih mengulit diri.


alFaisal

29 November 2009

Gombak

http://demipena.com




Baca selebihnya...
| 1 comments ]


Makmum sudah berdiri bersiap sedia untuk mengangkat takbir solat Aidiladha. Saya terpandang sekumpulan kanak-kanak sedang mencari kalau-kalau ada ruang di celah-celah saf. Keadaan surau yang penuh sesak menyebabkan kami terpaksa solat di luar surau.

Kanak-kanak tersebut nampaknya terpaksa bersujud di atas jalan tar sekiranya tidak dihamparkan sebarang lapik. Mujur dua orang lelaki di sisi mereka kelihatan memegang tikar sejadah yang pastinya cukup tebal buat mengalas dahi ketika sujud. Kedua lelaki tersebut bersedia membentang tikar sejadah. Kanak-kanak di sisi mereka kelihatan bersedia berkongsi tikar sejadah dengan kedua lelaki tersebut.

Mengejutkan apabila mereka membentangkan tikar sejadah buat diri mereka sahaja tanpa mengendahkan kanak-kanak di sebelah.

Saya terkesima melihatnya. Membuatkan saya bermuhasabah selepas solat. Demi keselesaan sendiri, kadangkala kita menjadi self-centric. Nikmat untuk dinikmati sendiri dan terlupa apa itu berkongsi.

Saban Tahun khatib yang membaca teks khutbah mengulang cerita berkenaan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang menjadi simbol perayaan Aidiladha. Dalam suasana ramai tersengguk-senguk mengantuk mendengar bacaan teks khutbah. Kisah Nabi Ibrahim dan Ismail kekal menjadi sekadar sebuah cerita.

GOD-SENTRIC

Keseluruhan kisah Nabi Ibrahim dan Ismail menggambarkan insan-insan yang bebas daripada self-centric dan sempurna jiwa God-centricnya. Manusia yang self-centric menjadikan dirinya pusat manakala segala isi dunia berputar mengelilinginya, termasuklah Tuhan! Manakala manusia yang God-centeric pula tidak meletakkan keutamaan mutlak buat diri sendiri, tetapi Tuhan.

Apabila Nabi Ibrahim menerima perintah untuk menyembelih anaknya sendiri, beliau bertanyakan pandangan Ismail. Ismail menjawab, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar(as-Saffat 37:102).”

Jawapan Ismail jelas menunjukkan keutamaan Tuhan didahulukan daripada sebarang kepentingan lain. Lalu si Ayah pun melaksanakan perintah daripada Tuhan tanpa

Selepas Nabi Ibrahim merebahkan Ismail. Berfirmanlah Pencipta sekalian alam, “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata (as-Saffat 37:104-106).”

Terakamlah kisah tersebut menjadi bukti dan teladan seorang hamba Tuhan yang mempunyai jiwa God-centric. God-centric yang buktinya bukan hanya pada ucapan, tetapi turut melibatkan tindakan.

Aidiladha yang datang bersama kisah Nabi Ibrahim dan Ismail sepatutnya mengingatkan. Seseorang itu perlu membajai jiwa God-centric dan menyembelih self-centric, yang mana tidak mungkin keduanya dapat wujud bersama.

Jiwa yang God-centric sentiasa sedar dan mempertimbangkan kehendak Tuhan di dalam hidupnya, bukan hidup mengikut kehendaknya semata. Walaubagaimana pun tidak juga bermakna hilang sifat kemanusiaan. Sebaliknya jiwa yang sentiasa tunduk pada perintah Tuhannya, akan tunduk pada perintah Tuhannya untuk menyayangi manusia lain. Akan tunduk pada perintah Tuhannya untuk mengubah masyarakatnya menjadi lebih baik.

Sejauh mana kita berjaya mencontohi Nabi Ibrahim dan Ismail AS, merealisasikan God-centric kepada tindakan?


alFaisal

28 November 2009

Gombak

http://demipena.com



Baca selebihnya...