“Mengapa sudah lama tidak mengemaskini blog?”
“Tidak mahu memberi pandangan mengenai isu-isu terkini di blog ke?”
Banyak soalan menerjah bertanyakan mengapa momentum blog ini kelihatan semakin menurun. Bagi yang sering berkunjung sudah pasti akan perasan perubahan ini. Malah isteri saya sendiri bertanya mengapa saya semakin jarang menulis.
Semenjak mula berjinak-jinak menulis sekitar lima tahun lalu. Keghairahan menulis saya berterusan meningkat. Dengan bertambahnya perkara yang dipelajari, pengetahuan yang diperolehi, menulis adalah cara saya meluah dan berkongsi pandangan. Menulis membantu saya menstrukturkan apa yang telah difahami. Saban tahun momentumnya semakin meningkat sehinggalah pertengahan tahun lepas.
Kadangkala saya tersenyum. Terkenang bagaimana saya pernah bersunguh menggalakkan insan-insan yang rapat dengan saya untuk menulis. Apabila ada yang mengadu kehabisan idea, saya akan berkongsi pengalaman bagaimana saya mengekstrak pengajaran daripada kehidupan lalu dijadikan tulisan. Melucukan apabila terdapat insan-insan tersebut kini lebih giat menulis berbanding diri saya.
KRISIS
Saya pasti terdapat beberapa punca yang mendorong kepada keadaan tersebut. Bagi saya antara punca utamanya adalah renjatan pemikiran yang saya lalui. Saya mula merenung kembali setiap idea dan pemahaman saya. Sejauh mana apa yang saya fahami sebagai kebenaran sebelum ini adalah benar.
Saya gagal merumuskan sebarang idea yang ingin dikongsi. Setiap pemahaman lama mula saya ragui. Lubang-lubang kelemahan semakin jelas kelihatan apabila saya amati. Soalan membawa kepada soalan. Akhirnya tidak ada yang mampu saya coretkan atau selesaikan.
Walaubagaimana pun saya melihat krisis yang saya lalui membawa seribu satu kebaikan buat diri.
Kadangkala kita menyekat diri daripada menilai kembali apa yang kita percayai dan yakini. Sekali kita merasakan apa yang kita dapat itu yang benar, maka kita tidak mahu lagi melihat apakah ada kebarangkalian lain. Kita tidak lagi mencuba menilai kembali pemahaman-pemahaman, idea-idea, pendirian-pendirian yang diperolehi sebelum ini.
Bukankah kesilapan lama yang kita tinggalkan dahulu itu juga pernah kita anggap kebenaran?
Sekalipun perjalanan untuk sebuah pencarian sudah bermula, tidak sepatutnya saya menjadikannya sesuatu yang membimbangkan saya untuk menulis. Sepatutnya perjalanan pencarian ini saya catatkan jika tidak bagi manfaat orang lain, sekurang-kurangnya untuk manfaat diri sendiri.
Saya berdoa untuk terus diberikan kekuatan menulis kembali. Doakan saya.
alFaisal
Batu Caves
18 Januari 2009
1.30 pm


0 comments
Post a Comment